nuffnang

Sunday, November 7, 2010

DETIK DETIK DOwn....

Memang langit tak selalu cerah. Secerah-cerah mentari menyinar, tak mustahil tiba-tiba mendung bertandang dan hujan lebat mencurah tanpa disangka. Suatu ketika saya mengikuti perkhemahan di Sungai Chamang, Bentong. Selesai semua peserta mengambil wudhu’ untuk Solat Subuh, tiba-tiba air deras datang, arus menggulung dan seketika itu juga warna air berubah menjadi sangat keruh berbanding sebelumnya. Begitu juga sebelum ini kita pernah dikejutkan dengan peristiwa Tsunami yang sebelumnya tiada siapa dapat menjangkakan dengan tepat bahawa ia akan berlaku. Kejadian alam ini mengajar kita, memberi tanda akan Sunnatullah yang tak mungkin siapapun dapat menduga dengan tepat kerana ilmu itu hanya ada di sisi Allah. Perubahan boleh berlaku secara drastik dan begitu pantas.

Kehidupan kita ini adalah sebahagian daripada fenomena alam, kerana kita sendiri adalah sebahagian daripada alam. Kehidupan ini penuh dengan misteri yang tidak terungkapkan. Kalaupun boleh diungkapkan, belum tentu dapat difahami maknanya dengan tepat dan jelas. Ilmu tentang kehidupan manusia ini begitu luas dan terlalu hebat untuk difahami dalam kerangka masa hidup kita yang singkat ini. Allahlah yang mengetahui segala rahsia kehidupan. Seperti mana ketenangan-ketenangan yang berada dalam alam ini dapat berubah secara tiba-tiba menjadi sesuatu yang sangat menakutkan, begitu juga manusia itu dapat berubah secara tiba-tiba daripada tenang menjadi goncang.

Goncangan yang dahsyat yang berlaku dalam kehidupan kita mungkin menjadikan kita semakin bertenaga atau mungkin juga sebaliknya. Selalunya, kita bakal berhadapan sebuah keadaan yang kita sebut sebagai DOWN.

Apa juga istilahnya, down, futur, lemah semangat, tak bertenaga, malas, pening, keliru, putus asa, semuanya menggambarkan tentang suatu keadaan yang sangat menekan jiwa. Sesiapa sahaja pasti pernah merasainya sepanjang dia hidup, walaupun cara menghadapinya bagi setiap orang itu berbeza. Di saat down itu datang, kita merasakan bahawa kitalah yang paling teruk di atas muka bumi ini. Boleh jadi kita merasakan bahawa kita yang paling bodoh, paling hina dan paling menjijikkan. Suatu keadaan yang memang sukar untuk dihadapi dan berat untuk dirasai.

Lebih membimbangkan, keadaan ini boleh datang secara tiba-tiba, sangat tiba-tiba. Mungkin pada siang harinya kita masih bersemangat, bertenaga untuk hidup. Tiba-tiba, belumpun malam bertandang, kita boleh berubah menjadi down yang amat sangat sehingga kita tidak lagi menjadi diri sendiri. Seolah-olah kita menjadi orang lain. Perubahan itu terasa sangat drastik dan pantas. Segala-galanya dalam hidup ini dirasakan sangat kelam dan sangat suram. Yang ada hanya perasaan negatif yang membuatkan kita terus tertekan.

Down ini merupakan suatu penyakit yang sangat memberi kesan kepada kehidupan seharian kita. Ia sangat memeritkan. Kalaupun bukan bagi orang yang down, ia memeritkan bagi orang sekelilingnya. Seorang pelajar yang down secara tiba-tiba akan terus tidak hadir daripada kelas, sedangkan sebelumnya dia kelihatan normal dan tidak ada apa-apa. Tugasan-tugasan yang diberikan juga diabaikan dan menyusahkan para pelajar lain. Mungkin ini pernah berlaku kepada kita atau mungkin kita melihat sendiri pada kawan-kawan kita. Seorang pekerja akan terus ponteng kerja tanpa alasan yang jelas. Kerja pun tertangguh atau tergalas pada bahu orang lain. Seorang Da’i akan terus mengabaikan masyarakat dan anak-anak buah binaannya sehingga meninggalkan mereka terkapai-kapai seketika. Penatlah teman-teman seperjuangan yang lain mengambil alih tugasnya yang diabaikan.

Detik-detik down ini sangat menyakitkan. Ada yang akan kembali bertenaga dan ada yang akan terus down untuk suatu jangka masa yang sangat lama, sebelum dia benar-benar menemui kembali bersemangat untuk hidup. Jika andalah orangnya yang sedang down, baguslah. Bagus kerana anda tahu bahawa anda sedang down. Carilah punca-punca yang menyebabkan anda down, dan berusahalah untuk kembali menemukan semangat hidup. Jika anda sedang berhadapan dengan orang yang down, janganlah menambahkan down lagi baginya, kerana dia memerlukan sedikit masa dan sedikit suntikan daripada anda. Ya, memang kita tak pernah meminta untuk down dan kita kalau boleh sedaya upaya tidak mahu down. Namun, begitulah kehidupan, hadapilah dengan tabah.

Dalam banyak keadaan, sabar adalah ubat yang paling mujarab dan pergantungan kepada Allah itulah yang akan memelihara kita.

Apa yang saya tulis ini adalah sebuah pengamatan daripada sebuah pengalaman, diri sendiri dan orang lain.

Mengapa Kita Down?

Tanyalah sesiapapun, takkan ada seorangpun yang sentiasa mengharap, meminta dan berdoa untuk down. Jika kita bertanya kepada orang yang down sekalipun, dia sendiri tak pernah mimpi atau bercita-cita untuk merasa down. Namun, tetap juga down itu terjadi kepada diri kita sesekali. Ada banyak punca yang mungkin menjadi penyebab kepada gejala down. Walaupun memang kita tahu bahawa down ialah sesuatu yang pasti dilalui seseorang, sesekali dalam hidupnya, namun pasti ada penyebabnya.

Kegagalan

Kegagalan memang sinonim dengan down. Bagi orang-orang yang memang telah dilatih dengan kegagalan, mungkin dia tidak merasa down lagi, bahkan termotivasi. Namun, bagi orang-orang yang memang anti-kegagalan, pastinya kegagalan yang menerpa itu akan memberi bekas kepada jiwanya. Dia tidak dapat menerima bahawa dia telah mengalami kegagalan. Selama ini, hanya kejayaan yang pernah tercatat dalam kamus dan sejarah hidupnya. Maka kegagalan itu meruntun perasaannya dan membuatkan dia tidak senang duduk. Akhirnya, diapun menjadi down.

Kegagalan boleh jadi dalam bidang akademik atau pelajaran. Seorang pelajar yang berusaha sedaya upaya untuk menghadapi peperiksaan pasti mengharapkan kejayaan daripada hasil usahanya. Apabila ternyata keputusannya adalah gagal, maka dia akan sangat kecewa (walaupun sedikit). Jika kekecewaan itu dibiarkan berlarutan, dilayan dan dibelai-belai, pastinya down akan mengambil tempat dalam hatinya. Dia merasa sangat terpukul dan tertekan. Impaknya, mungkin dia menjadi give up dengan pelajaran. “Ah, penat-penat aku belajar tak berjaya juga, baik aku enjoy”, “Diorang tak study pun boleh cemerlang, aku punya pulun teruk-teruk tak berjaya juga, ah, sudahlah!”. Fenomena ini memberikan impak buruk kepada diri pelajar tersebut. Dalam keadaan ini, keadaan down ini bolehlah dikatakan disebabkan oleh kegagalan dalam peperiksaan.

Kegagalan dalam perniagaan juga merupakan elemen lain yang menyebabkan down. Seorang usahawan yang mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan perniagaan, tiba-tiba perniagaan tersebut kurang untung atau untung sedikit (belum rugi atau bangkrup lagi). Harapan yang diletakkan sebelum memulakan perniagaan, iaitu untuk meraih untung besar, tak kesampaian. Maka dia boleh menjadi down dan meninggalkan terus perniagaannya, walaupun hakikatnya dia masih boleh maju jika dia teruskan.

Banyak lagi fenomena yang boleh kita tafsirkan daripada istilah kegagalan. Kegagalan dalam memimpin, dalam berumahtangga, dalam mendidik dan sebagainya. Pokoknya, kegagalan yang tidak dihadapi dengan sihat akan membawa kepada down

No comments:

Post a Comment

ape yang korang fikir ???