nuffnang

Thursday, September 23, 2010

Prinsip Sungai Kehidupan

Kehidupan ini umpama sebuah sungai yang deras, yang mana hujungnya adalah sabuah air terjun yang tinggi, kuat, dan sungguh ganas. Di bawah air terjun penuh dengan batu-batu keras dan tajam; yang pasti akan menghancurkan apa sahaja yang jatuh ke bawah.

Photobucket

Manusia umpama berada di sungai yang deras itu. Mereka akan sentiasa ditolak oleh arus sungai, menuju ke arah air terjun. Cuba bayangkan anda dalam situasi tersebut, apa yang anda akan lakukan?

Ya, apa yang anda perlu lakukan ialah dengan berenang melawan arus, menuju ke lorong sungai yang selamat, yang boleh membawa anda ke lautan kejayaan. Mereka yang gagal tidak pernah merancang untuk gagal, tetapi mereka tidak pernah merancang dan bertindak untuk apa-apa! Mereka membiarkan diri mereka dibawa arus. Mereka asyik dan bersantai-santai dengan arus sungai yang dingin dan membelai itu. Mereka tidak tahu (atau buat-buat tak tahu) bahawa di hujung sana ada air terjun kejam yang sedang menanti. Mereka hanya mengikut arus. Destinasi mereka ditentukan oleh arus, bukan mereka yang menentukannya destinasi mereka sendiri.

Cubalah bertanya kepada pakcik peminta sedekah yang merempat di tepi jalan. Adakah dia akan berkata, “Pakcik memang merancang untuk jadi pengemis!”, atau mungkinkah seorang penagih dadah akan memberitahu, “Abang masa kecil memang bercita-cita untuk jadi penagih tegar!”. Adakah mungkin? Gila!

Photobucket

Mereka tidak pernah terfikir pun untuk hidup susah, menderita, merempat dan gagal. Mereka cuma teruskan hidup. Dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun; mereka hanya HIDUP, tetapi tidak mengawal hidup mereka sendiri. Bila bersekolah, mereka berkawan dengan pelajar yang hanya tahu berseronok. Bila ditawarkan rokok, mereka mencuba. Bila ketagih, dapatkan duit. Bila sekolah tidak memberikan duit, mereka ponteng. Mereka berhenti sekolah. Mereka lepak sebab rehat dan seronok. Mereka bergaul bebas sebab nafsu terangsang. Mereka merempit sebab macam hebat. Mereka menganggur, sebab majikan itu membosankan. Mereka terus menganggur, sebab mereka masih suka melepak dan bergelak ketawa. Berpeluh dan berfikir perlukan usaha. Itu tidak seronok!

Mereka tidak merancang, menanam azam, menetapkan sasaran, menentukan strategi, mempelajari perkara baru, dan berusaha keras. Mereka ENGGAN untuk berenang melawan arus yang deras. Dan akhir sekali, apabila tiba di hujung sungai, mereka jatuh dan berhempas di atas batu-batu keras dan tajam. Ia sungguh menderitakan. Sakit dan memeritkan.

Anda tidak perlu merancang untuk GAGAL. Tiada perancangan itu sendiri, sudahpun satu kegagalan.

Bagaimana anda selepas ini?

No comments:

Post a Comment

ape yang korang fikir ???